Bakat Dan Tahap Pembangunannya

  • Saya tertarik dengan pendapat yang diutarakan oleh Saudara Ahmad Naim Jaafar dalam bukunya yang bertajuk “Apa Bakat Saya ?”(2009)

    Menurut beliau, ada 4 tahap pembangunan bakat seperti berikut :

    Peringkat Pertama : Mengenal Pasti Bakat Semulajadi

    Ini adalah keadaan dimana seseorang itu memang mempunyai bakat semulajadi semenjak lahir lagi. Dengan latihan dan focus yang betul, mereka lebih mudah berjaya dan cemerlang dibidangnya. Bakat semulajadi ini boleh dibahagikan kepada 3 iaitu :

    Bakat Ekspresif. Mereka yang dikesan di kategori ini biasanya jelas menonjolkan diri dengan cara kebolehan berkomunikasi dan berhujah dengan baik, mempunyai perbendaharaan kata yang luas, kebolehan menghafal yang tinggi, kebolehan menguasai bahasa asing dan sebagainya.

    Bakat Dominan. Mereka ini berbakat dalam beberapa kerjaya yang tertentu dan gemar meniru dan memerhatikan cara-cara orang dewasa berkelakuan. Contohnya mereka yang berminat dengan pasukan keselamatan seperti polis dan tentera, akan berminat untuk membuat aktiviti yang berkaitan dengan kerjaya itu sendiri.

    Bakat Relatif. Ini merupakan keadaan di mana seseorang itu ridak menonjolkan diri dengan bakat tersebut secara ekspresif dan dominan. Banyak usaha dan aktiviti yang perlukan dilakukan untuk mengenalpasti dan mencungkil bakat tersebut.

    Peringkat Kedua : Membangun Bakat Semulajadi Menjadi Kompetitif

    Pada tahap ini, bakat seseorang itu akan terus digarap dan diasah dengan ilmu dan kemahiran. Untuk berjaya, bakat sahaja tidak mencukupi. Jika seseorang itu ingin menjadi seorang pilot pesawat tempur tentera udara misalnya, dia harus mempunyai minat dan bakat yang mendalam dalam dunia penerbangan dan menguasai ilmu yang berkaitan dengannya seperti aeronautical, fizik, matematik dan sebagainya. Dia juga perlu mempunyai kefahaman yang mendalam tentang bagaimana sebuah pesawat itu boleh terbang, hukum fizik yang berkaitan dan juga mempunyai tubuh badan yang sihat dan tidak rabun warna. Apalagi untuk mengendalikan pesawat tempur, beliau mestilah boleh melepasi beberapa ujian untuk menghadapi tekanan gravity lebih daripada 1G.

    Begitulah juga dengan kerjaya dibidang lain. Ia bukan sahaja memerlukan minat dan bakat, tetapi ia bakal emlalui suatu proses yang memerlukan ilmu pengetahuan yang tinggi serta beberapa kemahiran utama untuk melonjakkan dirinya menjadi lebih kompetitif.

    Peringkat Ketiga : Membangun Bakat Kompetitif Kepada Bakat Strategik

    Apabila seseorang itu telah membangunkan bakat kompetitifnya, nah! Pada tahap ini dia perlulah membangunkan bakat itu menjadi bakat strategik. Seseorang yang berminat dan berbakat menjadi juruterbang pesawat tempur akan terus mencari peluang untuk meningkatkan kemahirannya melalui latihan yang lebih ‘advanced’ seperti ‘tactical warfare’ dan menggunakan peralatan senjata yang lebih canggih lagi. Dia juga harus mengintai peluang untuk menjadikan dirinya lebih unggul lagi. Teknologi penerbangan sentiasa berkembang dan sebuah pesawat mungkin berbeza dengan keupayaan pesawat yang lainnya.

    Peringkat Keempat : Dari Bakat Strategik Ke Bakat Mapan.

    Kita akan merasa lebih puas bilamana kita membuat sesuatu yang memang menjadi minat dan bakat kita. Kenapakah orang kaya tidak pernah berhenti untuk terus mengumpul kekayaan hingga akhir hayatnya? Ini kerana mereka bukan lagi memerlukan duit pada ketika itu, tetapi mereka gemar ‘membuat duit’ sebenarnya !

    Seseorang yang berminat dengan dunia penerbangan mungkin akan terus selesa di zon itu dan akan terus bekerja dipersekitaran industry atau bidang yang sama. Bila sudah lelah terbang, mereka akan membuka sekolah latihan pesawat ringan atau menganjurkan ‘event’ atau pun program yang berkaitan dengannya.

    Kesimpulannya, analisa cap jari merupakan suatu titik mula yang sangat penting dalam mengenalpasti bakat semulajadi dan potensi diri setiap individu. Ramai antara kita yang ingin menjadi bintang bolasepak atau badminton, begitu juga golf! Bertahun-tahun kita habiskan dengan membuat latihan dan menyertai pertandingan mahupun bermain secara suka-suka bagi mengeluarkan peluh. Tetapi tidak ramai yang akan menjadi bintang seperti anak-anak arwah Hj Sidek, arwah Mokhtar Dahari atau Tigerwoods.

    Bayangkan bagaimana kerajaan menghabiskan puluhan juta setiap tahun bagi melahirkan ahli sukan. Sekolah sukan diwujudkan, Majlis Sukan Negara ditubuhkan untuk menyelia program sukan Negara. Tetapi berapa ramai bintang yang kita lahirkan? Berapa ramai atlet yang mempunyai daya juang yang tinggi? Berapa ramai atlet yang berjaya dan kemudiannya terus berjaya dalam hidup dengan meneruskan minat dan bakatnya?

    Berapa ramai artis hiburan yang dilahirkan dalam program berbentuk ‘mee segera’ yang hanya dapat bertahan sekejap sahaja sebelum ‘mee segera’ itu kembang?

    Begitulah cabaran sengit yang kita hadapi sekarang ini. Sistem kapitalis membuatkan kita menjadi ‘komuniti pengguna’ tanpa ditekankan pembangunan kreativiti. Lihat saja berapa ramai graduan yang dilahirkan dalam kursus kejuruteraan, analisa computer, akauntan dan sebagainya? Kita hanya mampu menjadi seorang pekerja sahaja. Tidak ramai yang mampu menjadi kreatif dengan mencipta perisian yang baru atau membuat ‘bespoke-development’ kepada perisian yang lainnya.

    Nah, sekarang bayangkan bagaimana ratusan juta yang terpaksa dibelanjakan oleh kerajaan hanyut terbuang begitu sahaja dengan melahirkan hanya sedikit jumlah bintang dalam semua bidang. Yang lain akan menjadi ‘average person’ yang tak mampu meneruskan hidup tanpa makan gaji…..

 

Leave a Reply

 

Your email address will not be published. Required fields are marked *